Soffi Jikan menangis kerana KL Gangster 2
DI
saat pelayar maya berlumba-lumba memuat turun dan berkongsi laman
tontonan filem terbitan Skop Production Sdn Bhd, KL Gangster 2, di
internet, mungkin ramai yang tidak menduga perasaan pengarah, penerbit
dan pelakon filem ini.
Bukan
hanya bermaharajalela di laman maya, malah ada pihak yang senang hati
mula menjual cakera padat (VCD) di pasar-pasar malam pada harga
serendah RM5.
Bimbang dan sedih
memikirkan ‘rompakan besar-besaran’ berleluasa dalam sejarah perfileman
tempatan, pelakon, Soffi Jikan turut menitiskan air mata.
Walaupun
terkenal dengan watak antagonis, Soffi tidak dapat menahan
kekecewaannya apabila filem lakonannya itu bocor di internet sedangkan
ia masih belum ditayangkan di pawagam.
Ketika
ditemu bual Zass, Soffi atau nama sebenarnya, Mohamad Shoffi Jikan,
43, menangis apabila karya tempatan ‘dicuri’ sewenangnya oleh individu
yang tidak bertanggungjawab.
“Saya
memang sedih, dah berkali-kali saya menangis kerana kecewa dengan
perkara ini. Memang mengaibkan, memalukan dan mengecewakan!
“Saya minta sangat, tolong padam! Tolong jangan beli VCD itu! Mereka merompak karya bangsa sendiri secara berleluasa.
“Saya
sangat sedih.. Sejujurnya, kami masih belum menerima bayaran untuk
kerja kami sedangkan karya itu sudah mula diedar secara haram.
“Tolonglah jangan buat macam ni… Saya merayu kepada anda semua…,” rintih Soffi.
Menurut
Soffi, bukan hanya pengarah, Syamsul Yusof dan penerbit sahaja yang
kecewa, malah krew produksi dan pelakon turut bersedih.
“Mereka yang terlibat harus dibawa ke muka pengadilan. Ia adalah cara terbaik,” katanya. – Sinar Harian
0 Comment:
Post a Comment